| not the heroin, opkos. hehehe :P |
“Tapi, paling kurang pun inform saya. Saya in-charge bahagian sumber manusia, tapi kenapa saya tak tau pasal dia akan jadi pengarah kewangan Dual Ridz?” Seri persoal balik benda yang dia masih tak puas hati sampai sekarang. Tetap balik pada kenapa dia tak tahu sampailah hari ini, bila lelaki itu tiba-tiba muncul dan kena ‘tikam’ dengannya.
“Ayla uruskan semua tu. Saya sendiri tak tau, Seri, siapa yang ambik jawatan tu. All is done by my brother. Ridzman yang uruskan dengan bantuan Ayla. Saya atau Hafidz...” Ridzwan kerling Hafidz yang duduk di sebelahnya kemudian gelengkan kepala. Tanda mereka tak tahu dan sesungguhnya mereka tak bersubahat.
Seri merengus kemudian angkat punggung dari kerusi di bilik mesyuarat yang mereka bertiga huni. “Apa-apalah.”
“Seri?”
Panggilan Ridzwan matikan langkah yang baru Seri nak atur. Seri alihkan muka, lihat Ridzwan semula.
“Mmm?” Seri tanya balik dengan muka ketat. Sebabnya, bos pertamanya itu dah tahu perangai wangi busuk dia semua.
Mana taknya, dah sekian lama dia jadi staf lelaki itu. Dari Butterworth sampai ke Cheras ini. Cuma lelaki lewat 40-an itu bukanlah bos besar di sini. Sekadar rakan kongsi yang akan datang ke sini setiap dua minggu untuk memastikan gerak kerja di sini lancar, di bawah kendalian bos Dual Ridz, Ridzman, adik bongsu Ridzwan. Kadang datang sendirian, kadang dengan Hafidz, pembantunya di Butterworth sana.
“Saya harap Seri tak ada masalah nak bekerja dengan pengarah kewangan baru ni. Saya dah jumpa dia, kenal dia dan ambik tau pasal pengalaman dia. He’s the best candidate for the post. Awak pun tau kan Ridzman tu macam mana. Kalau tak layak, dia takkan ambik.”
Seri lepaskan keluhan dalam. Badannya dikalih penuh supaya hadap Ridzwan yang dah pun bangun dari kerusi dan berdiri di depannya. Lelaki yang baru pulang daripada menunaikan haji itu kelihatan lebih tenang muka dan peribadinya. Nampak muka beriman.
“Saya tau, Encik Ridzwan. Dan, saya tak ada masalah nak berurusan dengan dia.” Seri senyum tipis kepada Ridzwan.
Dia tahu lelaki itu takut kalau-kalau dia akan berhenti. Sayang sungguh lelaki itu kepada dia dan Hafidz. Sampai sekarang masih ikat mereka sebagai pekerja kesayangannya.
“Urusan kerja memang tak ada masalah. Urusan satu lagi tu?” Hafidz sakat Seri dengan sengih tunjuk gigi. Kerusi bilik mesyuarat itu dia pusing ke kanan dan ke kiri.
Seri jegil mata kepada Hafidz. Memang ada yang makan pelangkung dan bukan nasi juga sekejap lagi ni!
Ridzwan pandang antara Seri dan Hafidz silih ganti. “Ada yang saya tak tau ke?”
“Tak adalah, Encik Ridzwan. Macam tak kenal Hafidz mulut merenyam tu. Lagi banyak anak, lagi macam-macam keluar dari mulut dia tu!” Seri jawab sambil beri jelingan maha sengit kepada Hafidz.
Kemudian terus Seri atur langkah nak dapatkan pintu bilik mesyuarat yang memang sengaja dikunci dari dalam sejak 10 minit tadi. Takut ada gangguan. Makin terganggu pula jiwa Seri yang dah kacau-balau dari tadi. Semenjak Za’ba tunjuk muka dan selepas Ridzman kenalkan lelaki itu sebagai pengarah kewangan Dual Ridz Sdn Bhd yang baru.
Menggantikan Ayla, isteri Ridzman yang sedang mengandungkan anak pertama mereka. Ayla akan berhenti untuk beri tumpuan penuh kepada anak yang ditunggu-tunggu sekian lama. Hampir 12 tahun kalau tak silap Seri.
Elok Seri pulas tombol, dia terkejung lima saat apabila lihat siapa berdiri betul-betul di depannya. Belum angkat kepala pun Seri sudah tahu dada bidang itu siapa punya. Kemeja putih, blazer royal blue dengan satu butang atas terbuka. Memicing mata Seri bila dongak muka dan tatap wajah kacak ekstra tampan itu. Tambah-tambah bila Za’ba sedang senyum manis gaya letak gula di bibirnya dan bukan minuman.
“Nak apa?” Seri tanya gaya samseng. “Tak cukup gaji pengarah kewangan sampai nak jadi gad pintu ni?”
“Nak you, boleh?”
Spontan Seri jentik dahi Za’ba. Walaupun kena jengket sikit sebab Za’ba tetap tinggi lampai macam dulu.
Za’ba terus sentuh dahinya dengan jerit sakit. “Sakitlah, Seri!”
“Padan muka!” sembur Seri untuk telinga Za’ba saja kemudian cepat-cepat melenggang-lenggang ke arah biliknya. Sempat pula sambil lenggang sambil tengok belakang.
Elok paling muka sikit ke belakang, dia nampak Za’ba sedang jalan laju-laju nak kejarnya. Dengan sepasang kaki yang panjang itu, lagilah Za’ba cepat saja nak dekat dengannya. Tanpa fikir panjang, Seri terus lari terkedek-kedek di situ juga tanpa kisahkan mata-mata lain yang terjenguk-jenguk tengok dia dan Za’ba yang ada gaya macam tengah main kejar-kejar.
Seri usyar belakang lagi sekali. Mak aih. Makin dekat lagi pula Za’ba. Kali ini, Seri larikan diri gaya orang masuk larian pecut 100 meter dengan wedges. Dan, di belakangnya, dia dengar bunyi tapak kasut berbunyi tanda orang di belakang pun sedang lari. Tapi, ada bunyi latar lain yang mengiring. Bunyi gelak kelucuan. Cis!
Tiba-tiba, dari belakang, pergelangan tangan Seri kena kaut dengan jemari tangan yang kuat menggenggam. Bukan setakat itu saja, ditarik dia supaya menurut pula.
Seri yang belum lepas terkejut, terpaksa turutkan saja. Badannya kemudian ditolak ke dinding apabila sampai ke satu bilik sederhana, buatkan Seri terkebil-kebil bila Za’ba letak telapak tangan kanan dan kiri pada dinding, kunci tubuhnya di situ. Betul-betul di atas bahu kanan dan kiri Seri sambil badannya ditundukkan supaya muka mereka saling bertentangan. Tak payahlah Seri nak dongak-dongak kepala untuk main mata dengan Za’ba.
“You kena diet! Dah berisi sangat sampaikan bila lari bergoyang semua,” ujar Za’ba, sinikal. Sengaja lebih-lebihkan kenyataan.
Memang pun Za’ba perasan Seri dah tak macam dulu badannya. Tinggi tak ada pun berubah. Pendek macam itu juga. Tapi, badannya tak kecil dan kurus macam dulu. Kalau dulu saiz Syarifah Amani, sekarang dah saiz badan sedap macam Nelydia Senrose. Bumper melentik lain macam sudah. Memang mantap pun. Tapi, sajalah Za’ba nak kutuk terang-terang.
Seri sakit hati dengar kenyataan makan dalam dan tak makan saman dari mulut Za’ba. Geram naik ke kepala, Seri terus alih muka ke sisi dan aci gigit tangan Za’ba yang telapak tangannya pada dinding. Gigit sampai Za’ba jerit-jerit minta lepas. Sudahnya, bila Seri lepas, Za’ba jauhkan badan mereka sambil usap-usap kura tangannya yang Seri gigit macam dapat KFC.
“Tengok, siap ada tanda gigi lagi!” Za’ba sua sekejap tangannya, nak tunjuk bukti kepada Seri. Tapi, dia cepat-cepat tarik balik bila Seri menyeringai macam nak gigit lagi. Dah pandai makan orang agaknya si Seri ni sejak mereka berpisah sekian lama.
“Siapa suruh cari pasal? Mulut, kalau tak pandai cakap benda baik, lagi afdal diam aje. Tangan you tak sakit, hati I pun tak!” Seri balas sengit.
Apa ingat dia nak rindu-rinduan sama Za’ba lepas lebih sembilan tahun tak jumpa? Jangan harap!
“Eh, I cakap yang betul, okey! Dah memang kenyataan pun bila you lari tadi goyang habis semua!” Za’ba tak mahu mengaku salah apatah pula kalah.
“You ni memang nak mintak mampus! Maunya kompeni ni kena cari pengarah kewangan baru jugak beberapa jam lagi!” jerit Seri geram. Tak habis nak sentuh pasal bentuk badannya yang memang dah tak saiz dulu!
Za’ba senyum senget semacam. Macam nak perli ada. Macam nak gelak pun ada. “Rasa I lah kan... You jadi berisi sampai macam ni sebab kuat makan rindukan I selama ni kan. Nak lepas stres ingat I, rindu I, you makan aje. Sampai jadi bam-bam macam ni.”
“Mimpilah tujuh tahun tujuh tahun punya malam! Memang taklah! You tu pulak, apasal berjambang bagai? Rindu I sampai jadi Devdas Malaysia? I kan kononnya vitamin dan antibiotik you!” Seri balas balik.
Ingat, Za’ba saja pandai nak kutuk secara life? Hei, dia pun retilah!
“Hei! Helo! Siapa rindu siapa sebenarnya? I kalau rindu you lagi, memang tak adalah anak. You tu, dahlah tak ada anak, kahwin memang taklah, tunang pun tak ada! So, terang lagi bersuluh kan siapa rindu siapa, siapa tak lupa siapa dan siapa tunggu siapa?” Za’ba senyum sinis sambil peluk tubuh dan tentang muka Seri yang dah lain warna. Bukan lagi sawo matang. Geramkan dialah tu.
Seri ketap bibir bawah. Sakitnya perasaan dia masa ini apabila dengar cakap Za’ba yang macam memperlekeh dia. Macam juga memperlekeh hubungan hati yang mereka pernah ada. Sepertinya perasaan dia kepada Za’ba dulu atau sisa-sisa perasaan itu hanyalah sampah. Yang nak dikitar semula pun tak layak!
Turutkan sakit hatinya, Seri kepal penumbuk tangan kanan lalu ayun laju dan lepas sekuatnya pada abdomen Za’ba. Betul-betul di bahagian penselnya tercacak tadi.
Za’ba yang serius tak jangka akan terima serang hendap gaya itu, terus pegang perutnya dengan separuh badan tertunduk. Mulut pula mendesis tahan sakit. Memang mati juga Seri kerjakan dia ni!
Seri tiba-tiba paut dagu Za’ba yang tunduk muka itu, didongak sikit supaya tentang mukanya. “Take note. I bakal tunang orang! I bakal bahagia dengan orang yang akan sayang I! Manusia jenis cemburu buta macam you, sampai mati takkan faham!”
Seri tolak dagu Za’ba sekuatnya. Membuatkan badan Za’ba yang sedia menunduk separuh itu terkebelakang sikit. Pinggulnya kena kitchen island table di situ. Za’ba tegakkan badan sambil gosok pinggulnya yang terkena bucu meja di pantri itu, tengok saja Seri berjalan pergi gaya samseng, tinggalkan dia.
“Auch...” Kali ini Za’ba gosok pula perutnya yang berketak. Ngilu terasa pada luka yang tadi.
Za’ba tengok sekitar. Janganlah ada yang nampak dia dikerjakan oleh orang kuat sumber manusia syarikat itu dengan jayanya. Tapi, keinginannya tak sampai apabila dia tengok kitchen island table itu dipenuhi dua tubuh yang sedang enak menikmati sandwic.
“Whatthe... Sejak bila kau orang kat sini?” Za’ba soal pasangan suami isteri itu, yang sedang sambung kunyah sandwic dengan gaya baru lepas tengok wayang bergambar dengan warna.
“Sejak sebelum kau heret bos HR aku tu masuk sini lagi.” Ridzman hanya jawab lepas habiskan kunyahan sampai kosong mulutnya. Saja nak bakar hati Za’ba.
Ayla di sisi Ridzman angguk mengiakan sambil gigit sandwic lagi dan sambung kunyah.
“Bro, kau tengah buat benda tak betul, bro. Kalau kau nak tawan hati dia, kau kena pikat hati dia. Bukan bagi sakit hati dia.” Ridzman bagi nasihat percuma.
Za’ba mendecit kepada Ridzman. Geram pula dia kepada kawannya itu. Sudah sekian lama duduk di pantri ini dating dengan isteri, bukan nak bagi tanda. Ditonton saja adegan dia dengan Seri tadi. Memang saja!
Za’ba dekati meja itu kemudian capai satu bekas sandwic yang ada di depan Ridzman. “Bayaran untuk drama lakonan aku dan Seri tadi. Harga tiket untuk seorang!”
“Habis, Ayla?” Ridzman bergaya tak puas hati.
“Percuma untuk bakal ibu.” Berkata begitu, sambil buka bekas sandwic itu, Za’ba makan lepas duduk di atas kerusi bar di sebelah Ayla yang tersenyum dengan kenyataannya.
“Tak aci betul. Bakal ibu, percuma. Bakal ayah, berbayar!” Ridzman muncungkan mulut. “Aku pun kerja keras jugak tau macam Ayla.”
Ayla tergelak. Tahu suaminya itu acah-acah tak puas hati saja. Tidak betul-betul. Dia sua sandwic belum berbuka di depannya kepada Ridzman. Tapi, Ridzman tarik sandwic di tangannya lalu gigit dan kunyah. Ayla senyum bahagia dilayan begitu.
Za’ba kerling saja gelagat Ridzman dan Ayla yang dah dekat 12 tahun mendirikan rumah tangga dan sedang menunggu hari lebih bahagia untuk bergelar ibu dan ayah. Sedikit sebanyak dia tahu juga kisah sedih mereka. Tapi, alhamdulillah, doa mereka telah pun Allah makbulkan.
Dan kini, insya-Allah, giliran doanya pula. Hati Za’ba sungguh berharap, Seri akan jadi ibu kepada Umar. Pertunangan yang Seri uar-uar akan berlangsung itu, akan digagalkan juga! Seri dia punya dan kini dia kembali nak tuntut hak ke atas Seri Zulaikha, vitamin dan antibiotiknya!