|the hero|
“Yes. You hurt me, so you have to nurse me. Takkanlah Hafidz kut!” kata Za’ba selamba sambil buka blazer royal blue pada badan, penuh hati-hati. Mukanya sekejap-sekejap berkerut tanda sedang tahan sakit.
Tapi, Seri yang tengok terasa sungguh suka bila nampak setiap kerut pada muka Za'ba. Dia rasa senang hati sangat. Tapi, senang hati itu terus jadi susah hati bila Seri tengok Za'ba dengan selamba tak malunya duduk di atas sofa tiga rangkai di dalam bilik pengarah kewangan itu dan mula buka butang kemeja putihnya. Satu per satu. Dari atas ke bawah.
“Wait! Wait!” Seri halang, siap dengan kedua-dua tangan dikedepankan penuh semangat. Tak bagi Za’ba teruskan apa dia sedang buat.
Za’ba berhenti buka butang kemejanya, sandar badan pada sofa sambil angkat muka tengok Seri dengan sebelah kening terjongket. Ngam-ngam jarinya henti pada butang kemeja keempat.
Seri tengok muka Za’ba. Kemudian mata turun sikit pula, tertengok secara sengaja dada Za’ba yang terbuka tiga butang atasnya. Dan, tiba-tiba jari Za’ba pada butang baju keempat itu mula bergerak nak cabut butang itu juga.
“You buat apa tu?” Spontan Seri terjerit dan tersedar apa dia buat tadi. Tengok dada lelaki bukan mahram tanpa malu!
“Bukak butang baju untuk sedarkan you yang tengah tengok dada I. I taulah dada I seksi. Tapi, tolong jaga pandangan, okey.” Za’ba kutuk terus. Kemudian terus pula dia buka butang kemejanya serupa itu bukanlah satu kesalahan.
Seri sakit jiwa. Sudahlah dia disuruh jaga pandangan, lepas itu Za'ba dengan gaya tak ada hallah sambung buka butang kemeja semacamlah kalau dia buat begitu Seri boleh nak jaga pandangan. Ternoda dan tergoda pandangan lagi adalah!
“Berhenti nak menyeksikan diri boleh tak?” Seri jerit geram.
Dia palingkan muka ke pintu bilik pengarah kewangan itu yang sudah pun bertutup elok selepas Hafidz keluar sebab hendak ambil peti first-aid kit. Malu nak tengok terus Za'ba yang sikit pun tak malu, buka setiap butang bajunya sampai bawah. Kemudian siap selak baju ke kanan dan kiri lagi, menampakkan bahagian dada dan perut yang fit itu.
Macam mana Seri tahu? Sebab dalam paling-paling muka pun Seri curi-curi tengok juga. Serius tak nak sebenarnya tapi ‘ter’ juga.. Macam ada magnet saja buat dia tertengok. Hisy!
“Tak payahlah nak buat-buat macam tak pernah tengok, Seri...” ujar Za'ba sambil gelak-gelak, tapi seterusnya mendesah sebab gelaknya menyakitkan perutnya yang ada luka itu. Ada lubang besar pensel kut di situ. Mana tak sakit.
Dengar saja cakap Za'ba begitu terus Seri paling muka dan pandang Za'ba dengan muka garang. Rasa nak lempang saja perut Za'ba tepat-tepat pada bahagian luka itu bila dengar lelaki itu cakap tak berlapik macam itu. Mukanya pasti merah. Sebab marah campur malu. Walaupun tak nak rasa malu tapi Seri tetap terasa. Kalau Za'ba tak lupa, dia apatah lagi!
Namun, Seri sekolahkan mukanya dan pandang tajam lelaki itu, yang tengok dia dengan muka tak bersalah. Macamlah baru cerita pasal dia suka minum kopi satu sudu teh gula saja. Dan, bukan pasal dada dan perutnya yang fit itu.
Bila Seri diam tak balas cakapnya, Za’ba senyum. Dia tahu Seri tak suka dengar apa dia ujarkan tadi. Tapi, suka dialah nak sebut. Dia cakap benda betul kut. Bukan Seri tak pernah tengok dia tanpa baju, inikan pula dia yang begini. Cumanya, mungkin Seri dah lupa.
Namun, bila Za'ba perasankan muka merah yang cuba Seri neutralkan, Za'ba yakin Seri tak lupa. Sebagaimana dia. Walaupun lepas sembilan tahun lebih mereka masih ingat!
Baru Za'ba nak buka mulut untuk sakat Seri lagi, biar muka itu lagi-lagi merah, ia tak terlaksana apabila tiba-tiba saja pintu bilik pejabat itu dibuka dari luar. Lalu, tubuh lampai Hafidz melangkah masuk sambil bimbit first-aid kit.
“Dah jumpa.” Hafidz angkat sikit kotak kecemasan di tangan kemudian bergerak mendekati sofa tiga rangkai yang Za'ba duduki.
“What are you doing?” Za'ba terus tanya bila Hafidz buka kotak kecemasan dan ada tanda-tanda nak jadi jururawatnya.
“Nak letak ubat kat luka tulah.” Hafidz kekeliruan. “Ke luka tu dah baik sendiri?”
Perlian Hafidz buat Za'ba merengus. “Kau ingat luka ni sekali Seri tiup boleh terus baik?”
Hafidz tunjuk gigi dengan perlian balik Za'ba. Sebenarnya dia tahu apa Za'ba nak. “Biar aku ya g buat.”
“Biar Seri buat. Dia yang buat aku luka macam ni, dialah letak ubat.”
“Aku takut luka kau ni makin teruk dia kerjakan aje. Mana tau dia nak balas dendam sembilan tahun. Bulat kecik ni jadi bulat besar pulak.”
Za'ba tunjuk gigi. Malah, Hafidz pun sama. Seri yang dari tadi jadi tukang perhati mula hangat hati. Dah macam pasangan kekasih baru jumpa lepas terpisah pula dua makhluk Allah ni. Eii, geli!
“Helo! Dia ada kat sini, okey. Berhenti cakap pasal dia macam dia tak ada kat sini!” Seri hentam dua lelaki itu.
Za'ba alih pandangan, tengok Seri. Tunak dan tajam. “Come here.”
“No!” tegas Seri. “You yang tiba-tiba masuk bilik I tanpa ketuk pintu atau bagi salam. Kalau you tak tiba-tiba masuk, pensel tu akan kena pintu dan bukan perut you. So, it's not my fault. And, I'm not nursing you!”
Za'ba lama lagi tengok Seri dengan serius. Kemudiannya, tiba-tiba dia senyum jongket sebelah. “Kalau macam tu, I akan biarkan luka ni. Kalau tiba-tiba kena infection, jadi makin terus sampai lagi teruk sakit I, I sama ajelah you.”
“Fine. Kalau you pilih untuk mati kena infection pada luka tak seberapa tu, up to you!” Seri buat muka ada-I-kisah!
Seri terus bangun dari kerusi empuk tetamu di meja kerja di dalam bilik itu, mahu tinggalkan Za'ba. Ingat dia akan kisah pada gertakan Za'ba? Memang Za'ba silap orang!
“Kesian anak I… jadi anak yatim bila I mati sebab kena infection kat luka ni.”
Langkah yang baru Seri nak atur termati setempat mendengar kata-kata itu. Za'ba ada anak? Za'ba sudah berkahwin? Spontan dadanya berdenyut lain macam. Dia tak rasa serangan jantung. Tapi, serangan hati. Sakitnya di situ. Tak tertahan rasanya.
Seri sentuh dada sendiri, tarik nafas sambil lepas dengan mata terpejam. Dua kali buat begitu, akhirnya Seri boleh bertenang. Walaupun sakit di situ ada lagi, tapi dia boleh buat biasa apabila alih badan dan tengok Za'ba balik dengan senyuman paling manis.
“Jangan risau. I akan pastikan dia cepat-cepat dapat ayah baru bila you mampus!” Bercakap begitu, terus Seri alih badan dan teruskan langkah yang tergendala tadi. Laju saja dia keluar dari bilik itu tanpa tunggu respons daripada Za'ba.
Za'ba terlambat bagi respons. Sebabnya ada dua. Satu, dia dah terkejut maut bila lihat senyuman manis Seri. Senyum yang paling menangkap matanya dan hatinya. Dulu dan kini masa sama aura senyuman itu. Dan dua, apa yang Seri katakan. Nak cari ayah baru untuk anaknya? Seri memang nak tengok dia mati cepat nampaknya!
“So, kau ada anak?”
Pertanyaan Hafidz diiring dengan sentuhan kapas basah pada bahagian perutnya menyedarkan Za'ba. Dia angguk dan terpaksa gigit bibir bawah tahan sakit bila Hafidz macam sengaja menekan lukanya dengan kapas.
“Berapa?” Hafidz sambung tanya. Kali ini mencuci luka Za'ba dengan Dettol pula. Saja-saja di tekap sungguh-sungguh pada luka Za'ba.
Bila Za'ba tunjuk muka geram nak mengamuk kepadanya, Hafidz angkat dua-dua bahu dan ucap, “Aku tak naklah ada infection. Nanti kena saman bagai pulak.”
Za'ba gigit saja bibir bawah tahan hati. Dia tahu Hafidz sedang balas dendam sembilan tahun bagi pihak Seri. Memang dasar kawan baik!
“Sorang. Dah masuk darjah satu.” Za'ba jawab juga soalan Hafidz.
“Mmm… Aku dah tiga.” Lepas dah puas godek-godek luka Za'ba dan balutkannya, Hafidz beritahu.
Za'ba angguk. Juga sebagai tanda terima kasih kepada Hafidz.
“Kalau kau kahwin dengan Seri sembilan tahun dulu, mesti anak kau pun tersusun macam aku. Tapi, nasiblah kan. Orang kuat cemburu buta memang selalu melepas!” Hafidz tutup peti kecemasan dengan kuat.
Za'ba kacing gigi. Bergerak-gerak tulang pipinya tanda geram, namun terpaksa sabar. Sebab apa Hafidz cakap ada betulnya. Dia memang lelaki baran yang kuat cemburu buta!
“Jangan kacau Seri kalau kau dah kahwin. Jangan ada cita-cita nak tambah kuota.” Hafidz paut kuat bahu kiri Za'ba yang duduk berjarak di sebelahnya. Bagi amaran.
“Aku tak ada isteri.” Za'ba jongketkan bahunya kasar, menyentak tangan Hafidz dengan cara itu.
Hafidz angguk. “Seri dah nak bertunang.”
Muka Za'ba berubah. Tunak dia tengok Hafidz. Lelaki itu tergelak.
“Aku tak ada masa nak tipu kau.” Hafidz bangun sambil bimbit peti kecemasan. “Kau dah sia-siakan dia untuk lebih sembilan tahun. Jangan tambah lagi kalau tak nak aku bagi Seri capai apa dia cakap tadi.”
Kali ini Za'ba kerut dahi tanda kurang jelas, ikut berdiri.
“Tolong dia pastikan anak kau dapat ayah baru!” Bernada amaran, Hafidz backhand perut Za'ba tanpa rasa bersalah dan kata, “Chiao!”
Za'ba pegang lukanya yang rasa sakit dan perutnya juga rasa senak akibat pukulan jantan Hafidz. Memang Umar bakal dapat ayah barulah kalau Seri dan Hafidz bekerjasama memastikan kependekan hayatnya.