Raisya dan Dona sama-sama berdiri di belakang barisan orang ramai yang sedang beratur di kaunter tiket. Mereka belum bersedia untuk membeli tiket sebaliknya sama sibuk melihat skrin yang memaparkan filem-filem tayangan hari itu berserta waktu tayangannya.
“Macam tak ada aje!” Raisya menggigit bibir dengan mata yang terus tunak pada skrin.
Dona tayang muka tak puas hati. Tak sudah-sudah matanya menujah skrin yang jauh di hadapan walaupun sudah tiga kali dia mengulang aksi yang serupa. Sudah habis dilihat kesemua tayangan filem hari itu! Namun perkataan F.A.N.A.A tidak langsung ditangkap matanya.
Tak cukup dengan itu, dia panjangkan pula leher ke setiap ruang pekarangan GSC Mid Valley itu, menilik poster yang terpampang satu demi satu. Namun tetap tidak bertemu perkataan yang dicari, mahupun wajah Kajol dan Aamir Khan.
Raisya pandang Dona akhirnya. Dia yakin Dona sedang berang kala ini. Walau tak nampak asap di atas kepalanya atau asap keluar dari telinga dan lubang hidungnya, dia amat yakin akan hal itu. Marah Dona sudah memuncak dan harus dibendung.
“Kita sepatutnya tengok kat website dulu sebelum datang. Aku rasa tak adalah...”
Dona mendengus garang. Percaya ataupun tidak, pipi Raisya terasa bahang panas nafas gadis itu. Kalau pasal Kajol, jangan nak buat main dengan Dona. Boleh ditelan hidup-hidup pihak yang bersalah kepadanya itu.
Raisya ingat lagi ketika ada ura-ura yang mengatakan Kajol sudah meninggal dunia, bukan main lagi kawannya itu menangis dan berkurung di dalam bilik. Televisyen di rumah pula tidak sudah-sudah tayang filem-filem lakonan Kajol daripada koleksi VCD dan DVD simpanan Dona. Memperingati kononnya!
Dan, bila keluar kenyataan akhbar menafikan khabar angin kematian Kajol, Donalah yang paling gembira—kalau ada orang lain boleh tandingi Dona tika itu, dia benar-benar kagum.
Berminggu duk tayang gigi sampaikan dia perlu ingatkan Dona agar berhenti tersengih kambing bak orang hilang akal. Dia mungkin faham mengapa Dona begitu, namun bukan orang lain! Dia tak mahu dianggap berjalan dengan orang gila tiap kali mereka keluar.
“Don, kita tengok cerita lain aje ya? Dah alang datang ni. Fanaa tu kita tengok nanti, kat tempat lain.” Raisya bersuara lembut. Mahu memujuk hati yang hangat dek kecewa itu.
Dia tidak mampu selami perasaan sebenar Dona kerana dia tidak pernah meminati mana-mana pelakon atau selebriti sefanatik itu. Jadi, dia hanya boleh cuba faham—walau tidak sepenuhnya.
“Kejap! Aku nak tahu kenapa Fanaa tak ditayangkan di sini. Dah lebih berapa hari dah ni, takkanlah tak ditayangkan! Aku nak tahu jugak. Jugak-jugak!” ujar Dona terus memanjangkan langkah.
Raisya cepat-cepat memaut lengan Dona. Mahu menghalang ayunan kaki temannya itu. Bimbang Dona takkan jadi dirinya dan melepas geram kepada mana-mana pekerja di situ sedang mereka, baginya, adalah pihak yang tidak berdosa.
Oleh kerana tubuh Dona lebih tinggi dan agak berisi berbandingnya, usahanya menghalang tidak berjaya sepenuhnya apabila dia turut terdorong ke hadapan. Mengikut langkah berang Dona. Namun dia tidak mengalah. Tetap cuba menarik lengan Dona sekuatnya, sedaya kudratnya. Kedua-dua kaki diperkemas ke lantai, menginjak kuat.
Dia berjaya… dan dia termengah.
“Apa halnya ni?!”
“Don, memang tak ada. Sabarlah. Kita tengok kat tempat lain nanti. Esok pun tak apa,” ucap Raisya, lembut memujuk.
Dona melihat Raisya seketika. Lalu menarik nafas sedalamnya, beberapa kali. Menenteramkan diri.
Apabila Raisya lihat wajah yang memerah itu beransur tenang, hilang kerut marah dan geram, dia melepaskan pautannya di lengan Dona. Turut sama bernafas lega.
“Okey. Kita tengok kat tempat lain.” Dona bersetuju dengan Raisya. Mengangguk kecil.
“That’s a good girl. Jadi, malam ni kita nak tengok cerita apa?” Raisya talakan mata ke skrin.
“Tak kisahlah,” ujar Dona acuh tak acuh. Tak bersemangat. “Aku tak kisah dah. Cuma…”
Wajah Dona kembali berkerut. Matanya terarah ke kaunter tiket Gold Class di kiri mereka, paling hujung. Tiada batang tubuh berbaris di situ. Malahan dua orang staf yang menghuni kaunter tersebut tampak girang berkongsi cerita dan ketawa. Dia mula nampak Kajol di dalam Kabhi Kushi Kabhi Gham sedang menangis!
“Cuma apa?” soal Raisya tanpa memandang Dona, lebih galak mendongak kepala mencari filem menarik yang lain untuk menggantikan filem Fanaa. Niatnya hanya satu; cepat pilih, cepat beratur! Bolehlah nak jauhkan Dona daripada memulakan ‘pemberontakan’.
“Cuma sebagai pengguna yang mempunyai hak, aku perlu tahu jugak!” Dengan kata itu Dona lesap dari sisi Raisya, menonong ke kaunter Gold Class.
Sekarang tangisan Kajol di dalam Kuch Kuch Hota Hai ketika frust dengan Shah Rukh terlayang di ruang mata! Langkahnya kian laju.
Raisya cuba bertindak sepantas mungkin. Mengaut tubuh Dona sekali lagi. Namun yang ditangkap hanya angin. Dona sudah bersemangat mengorak kaki, menjauhinya. Dia hanya boleh menyentuh dahi dengan keluhan kecil. Pemberontakan sudah dimulakan!
Ya Allah, Kau berilah kekuatan jitu kepada dua makhluk-Mu yang bakal menjadi mangsa amukan Dona. Mereka perlukannya jika mahu mendepani Dona dalam keadaan begini. Mampus disayat dengan soalan demi soalanlah budak-budak tu!
Dia sempat menggeleng sendirian sebelum melihat ke arah barisan orang ramai yang sudah mula panjang berbanding tadi. Daripada dia tercangak di sini menanti Dona kembali—kerana dia yakin dia perlu tercangak lama jika perlu menanti temannya itu—ada baiknya dia beratur dulu dan dapatkan tiket untuk mana-mana filem yang kena dengan seleranya dan Dona.
Raisya meliarkan pandangan ke arah barisan-barisan yang telah dibuka. Mahu mencari satu baris yang paling pendek berbanding yang lain. Dan, ketika inilah dia rasakan sesuatu. Ada debar, ada gusar. Resah menggulung perasaan. Dah kembali jadi roti jala berjala-jalalah. Dia tahu perasaan ini. Dia sedar resah rasa ini. Dia pasti laluinya tiap kali ada pertemuan antaranya dengan Fariz.
Sebelum mata mereka menyapa, perasaan ini akan lebih dulu menjenguk. Dan, dia tidak salah menduga.
Matanya menerpa ke raut kacak yang putih bersih itu. Matanya tunak di situ, terlalu tergamam untuk dialihkan. Malahan kalau dia mahu pun belum tentu dia boleh larikan mata daripada sepasang mata sepet dengan anak mata hitam yang sedang kemas memauti matanya.
Mereka terus-terusan saling merenung.
Raisya rasa mahu lari. Namun kakinya mati. Terkaku di tempatnya. Debar itu kembali mengusung. Resah itu tambah memasung. Setiap helai bulu roma tegak berdiri. Dia tidak takut, dia bukan pengecut. Namun ada sesuatu pada renungan bersahaja itu yang buat dia jadi takut lalu berubah jadi pengecut.
Fariz, di dalam barisan, berpeluk tubuh dengan raut tenang, tidak lepas menjamah paras manis yang sering mengekori ingatannya selama dekat dua bulan ini. Gadis ini tidak mengharapkan adanya pertemuan kedua di antara mereka. Tapi bagaimana untuk jelaskan pertemuan takdir yang diatur di antara mereka selama ini?
Malam ini, antara mereka berdua sudah ada lapan pertemuan!