INTAN NAZIRA yang duduk di belakang kereta Nissan X-Trail itu memasamkan muka sambil peluk badan. Stres! Mana tak stres kalau ibu masih hendak gelakkan dia sampai sekarang sebab dia cerita pasal apa yang jadi di dalam bilik interviu masa itu. Dah tujuh hari benda itu jadi dan dah tujuh hari juga ibu asyik hendak gelak dan gelak bila mengingat. Orang lain buat kenduri tujuh hari tujuh malam, ibu dia ini pula buat gelak tujuh hari tujuh malam! Huh!
“Ibu...!!!” rengek Intan Nazira mula geram.
Nasiblah dia tak cerita kepada ibu yang dia ada tanya minah rambut warna-warni yang hampir Perang Teluk dengan dia pasal soalan minta penampar lelaki bersuara jantan itu. Intan Nazira cuma nak pastikan betul ke soalan itu soalan wajib tanya kepada setiap pelajar yang minta masuk ke Kolej Kejururawatan AMC. Sekali minah rambut warna-warni tu carutkan dia tang tu juga. Percuma saja kena maki.
Kalaulah Intan Nazira cerita hal itu kepada ibu, mahu lebih-lebih punya dia kena gelak. Mahunya 17 hari 17 malam!
“Sorry, sorry...” ujar Aiza kemudian diam dengan mulut lurus. Nampak sangat sedang tahan diri supaya tak ketawa. Kalau tak, mahu anak gadis sulungnya itu naik angin kus-kus kepadanya lagi. Bagai tujuh hari tujuh malam yang sudah.
Namun, tak lama cubaan tahan ketawanya sebab Aiza bantai gelak balik. Soalan minta penampar Izzat Imir masih boleh buat Aiza geli hati tak sudah. Dan, proposal gaya berani mati Izzat Imir baginya melucukan dan manis bunyinya. Walaupun Izam sungguh tak setuju dengan pandangannya itu. Izam mengamuk habis. Siap hendak serang Izzat Imir sebab berani-berani tanya dua soalan itu kepada anak daranya yang naif lagi polos itu.
“Eii, ibu ni... Bencilah!” Intan Nazira sudah geram habis. Terus dia sandar badan pada kusyen kereta dan sembunyi muka balik cermin pintu kereta sambil lagi-lagi masamkan muka.
“Aiza, sudah-sudahlah tu usik anak...” tegur Puan Mawarni sambil geleng kepala.
Kemudian dia paut badan Intan Nazira yang sudah terperosok ke hujung kereta gara-gara nak tunjuk rajuk kepada Aiza. Dipeluk bahu anak dara itu selepas tarik rapat kepadanya. Diurut atas bawah lengan kiri Intan Nazira dengan rasa sayang yang sangat. Sesekali bibir tuanya sentuh dahi Intan Nazira yang terletak di dadanya. Cucu yang satu ini memang sungguh manja dengannya.
“Dah, dah... Tak payah nak merajuk-merajuk dah. Tak cantiklah cucu kesayangan opah ni tarik muka macam tu.” Puan Mawarni masih memujuk.
“Yalah... Kak yang aje cucu opah. Ismaa ni bukan...” Menjuih bibir Ismaa atau nama penuhnya Ismaa Nazira, si dara baru berumur 14 tahun. Dia perosokkan mukanya ke pintu sebelah lagi dengan gaya merajuk yang kakaknya tunjuk tadi.
Puan Mawarni ketawa galak dengan perangai Ismaa itu lalu ditarik badan Ismaa dan dipeluk bagai peluk Intan Nazira di kirinya. Dahi Ismaa turut dikucup sayang bertalu-talu. Lebih daripada Intan Nazira terima. Tak cukup dengan itu dia cium pipi kanan dan kiri Ismaa berulang-ulang.
“Aaa...” Ismaa jerit kecil, manja dan nakal. “Okey, okey. Ismaa percaya opah sayang Ismaa lebih daripada kak yang...”
Ismaa terus jerit gaya buat-buat dan gaya buat-buat juga dia elak diri daripada terus kena cium dengan opah. Puan Mawarni lepas badan Intan Nazira kemudian cuba nak peluk Ismaa dan kucup muka dara 14 tahun itu sungguh-sungguh. Intan Nazira yang tadi masam mencuka sudah boleh gelak ketawa dengan aksi sakat opah. Wanita itu sayangkan dia dan Ismaa sama banyak.
Namun, Intan Nazira dan semua dalam keluarganya tahu wanita itu simpan sayang yang lebih kepadanya. Sebabnya mudah, dia bukan saja bawa nama Intan Nazira, malah dia juga bawa rupa Intan Nazira. Kawan baik ibu yang merupakan anak kepada opah. Dia copy paste anak arwah opah itu. Sebiji serupa kata semua orang yang tengok. Bukan kebetulan, bukan keajaiban. Dia punya salinan copy paste arwah kerana dia adalah salinan copy paste arwah emak kandungnya, yang rupanya merupakan kakak kembar kepada arwah Intan Nazira.
Hanizatul yang duduk di sebelah Aiza ketawa sama sambil tengok belakang dengan badan menyenget. Kemudian dia lihat Aiza di sebelahnya, yang ikut ketawa sambil teruskan pemanduan. Wanita bekas jururawat yang semenjak 10 tahun sudah menjadi suri rumah tangga sepenuh masa itu masih cantik walau usia sudah 45 tahun ini. Badannya mungkin tak langsing bagai zaman anak dara dulu, namun sedap berisi dengan bentuk badan masih nampak. Bentuk badan yang Izam uar-uar geram bila tengok. Rasa nak peluk-peluk selalu.
“Ira tau kita nak ke mana?” tanya Hanizatul perlahan. Untuk telinga Aiza saja. Sebab orang bertiga di belakang sedang bergurau senda sesama mereka sambil ketawa-ketawa, soalannya memanglah mereka tak dengar.
Sebetulnya, Hanizatul cuma tak mahu Intan Nazira dengar. Ibu mertuanya sudah tahu mana arah kereta ini. Ismaa pula langsung tak peduli mereka ke mana pun. Asal saja dia dapat mengikut dan boleh makan banyak-banyak. Tengah dalam umur badan nak naik, memang Ismaa aci makan saja. Tak lama lagi, dah sampai umur jaga badan, sahlah Ismaa tak ingin nak mengekor mereka gaya ini.
Hai, seronoknya kalau ada anak perempuan. Malangnya, dia hanya ada anak lelaki. Tiga orang. Dah banyak umur macam dia, nak mengandung lagi memang taklah. Sudahnya, Intan Nazira, Ismaa Nazira dan Imeel Naziralah anak perempuan kesayangannya. Memang pun dia layan tiga anak dara itu macam anaknya sendiri. Sejak semua kenyataan dan kebenaran terbongkar, sekali gus membawa Intan Nazira sekeluarga dalam hidup dia dan ibu mertuanya, sejak itu memanglah dia layan anak-anak Aiza ini macam anak sendiri. Pukul dan marah pun pernah. Aiza tak kisah pun. Suruh lagi adalah. Tukang hulur rotan tegar.
Aiza geleng. Sudah tak gelak. “Dia takkan ikut kalau tau. Tak suka sangat dengan mamat tu. Izam lagilah. Tak restu katanya.”
Hanizatul sengih. Kelakar dengar. Izam memang dari dulu tak restu. Dulu sebab lain, kini sebab lain. Yang penting satu saja. Dia tak restu!
“Aiza restu ke?” tanya Hanizatul sudahnya. Nak tahu juga. Bukan senang untuk Aiza melepas Intan Nazira. Walaupun bukan anak yang wanita itu kandungkan, namun Intan Nazira disusukan wanita ini. Susu itu sudah jadi darang daging Intan Nazira yang sudah pun membesar jadi dara sunti 19 tahun kini.
Aiza senyum. Tipis dan hambar sedikit. “Belah sana tu keluarga emak dia, ayah dia. Sekurang-kurangnya dia orang tak usaha rampas Ira selama ni daripada kami. Dia orang ikutkan saja rentak kami selama ni. Kami mintak masa, dia orang dah bagi. Sekarang pun dia orang bukan ambik Ira terus. Kami ada peluang lagi nak jumpa dia, Kak Hani. Tu lagi penting.”
Hanizatul angguk. Setuju. Dua tahun lalu, sesudah keluarga Datuk Abdul Amin tahu siapa Intan Nazira, lelaki itu tak pernah berkeras dalam mendapatkan gadis itu. Yang diminta hanyalah peluang kenal baik. Datuk Abdul Amin hanya hendak peluang mengenali cucunya, walaupun Intan Nazira bukanlah cucu kandungnya. Lelaki itu hendak lepas rindu kepada arwah anak lelakinya. Itu saja lelaki itu pohon.
Namun, masa itu Aiza tak beri peluang kerana takut sangat anak kesayangannya itu akan dirampas oleh lelaki berduit dan berharta itu, yang boleh buat apa saja dia mahu. Itu kalau dia mahu. Tapi, lelaki itu tak buat apa. Sampailah pintu hati Aiza sendiri terbuka untuk terima permintaan Datuk Abdul Amin yang mahu menikahkan Intan Nazira dengan cucu sulung lelaki itu. Pulangannya kepada kedua-dua belah keluarga juga bilang Datuk Abdul Amin.
Namun, Aiza mahupun Izam sudah tak ingat bagaimana rupa Izzat Imir, cucu lelaki itu. Malah, peribadi anak muda itu pun mereka tak tahu. Izam, suaminya itu, lagilah tak senang bila tahu umur Izzat Imir sudah 30 tahun. Sedang anak dara mereka muda sangat. Jarak antara Intan Nazira dan Izzat Imir terlalu jauh. Itulah pertikaian awal Izam, seraya minta masa untuk fikir hal lamaran lelaki berpangkat Datuk itu.
“Tak apalah. Ira bukan jauh pun daripada kita. Dekat sangat kan. Lagipun, tak lama lagi kan nak dapat ganti Ira.” Hanizatul kerling Aiza dan senyum penuh makna. Tapi, tak lama. Wajah Aiza bukan wajah senang bagai dia.
“Kalaupun Aiza ada 10 anak, Kak Hani, tak ada yang boleh ganti Ira Aiza ni. Macam mana arwah Ira tak boleh digantikan di hati mak cik, macam tulah Ira Aiza di hati Aiza...”
Hanizatul tarik nafas dan lepas. Dia tersalah cakap. Terus tangannya dipanjangkan, sentuh bahu kiri Aiza dan usap-usap. Harap dapat tenangkan hati seorang ibu. Kini, Hanizatul nampak satu perkara. Dia dikira beruntung dapat anak lelaki saja. Sekurang-kurangnya dia tak perlu lepaskan anak perempuannya satu hari nanti. Namun, sedih mengenang dia akan melepaskan Intan Nazira tak lama lagi ikut menghibakan juga perasaannya. Sudahnya, Aiza pula yang usap bahu kanannya demi tenangkan hatinya.
Adoilah, mereka ni... Masalah betul!
Intan Nazira juih mulut, peluk badan sambil pandang arah lain. Tak sudi langsung tengok lelaki di depannya. Malah, sebab tak nak tengok lelaki bersuara jantan itu, dia ikut tak peduli kepada Datuk berpangkat di sebelah. Walau sekian lama Intan Nazira mengagumi Datuk Abdul Amin, tuan punya Amanah Medical Centre yang turut memiliki kolej kejururawatan yang dia nak masuk sangat sejak dulu. Namun, masa ini dia buat tak peduli. Langsung tak ambil kisah!
Sebab, lelaki bersuara jantan yang namanya Izzat Imir, lelaki yang berani-berani tanya soalan minta penampar sekali gus lamarnya dengan gaya entah apa-apa tempoh hari rupanya adalah cucu kepada Datuk Abdul Amin. Cucu buat hal, datuk kena sama. Itu prinsip Intan Nazira. Tak ada kompromi!
Intan Nazira buat tak pandang, tapi dalam masa yang sama dia curi tengok juga lelaki tinggi lampai itu. Dari tadi dia sekeluarga sampai, lelaki itu asyik tengok dia. Masih dengan pandangan dia soalan matematik belum terjawab. Intan Nazira tak selesa, tapi dia tak boleh buat apa. Sebab dia memang tak berani nak balas pandang lelaki itu masa ini. Dia rasa lain macam sangat bila asyik jadi bahan tengok begini. Dia mana pernah mendapat renungan gaya ini daripada mana-mana lelaki. Tambah lagi lelaki maco bersuara jantan macam Izzat Imir.
Lelaki ini, Izzat Imir bin Ahmad Idrus, adalah lelaki yang ibu dan opah sedang timbang-timbang untuk jodohkan dengan dia. Walaupun dapat tentangan hebat abah sampai kini. Abah sungguh-sungguh tak kenan nak buat Izzat Imir ni sebagai menantu. Tak tahu kenapa. Padahal abah belum pun jumpa lelaki ini. Abah yang selalu nasihatkan dia jangan nilai orang selagi tak kenal betul, belum jumpa muka dengan Izzat Imir dah menilai dan membenci. Abah ni, cakap tak serupa bikinlah!
Intan Nazira unjuk muka ke depan gaya cari gaduh kepada Izzat Imir yang tunak tengok dia. Tengok dan tengok, renung dan renung. Kenapalah lelaki ini begini? Cubalah buat baik dengan dia, beli hati dia, usik hati dia. Kata nak beristerikan dia, tapi tak pun tunjuk gaya macam itu. Selain lamaran gaya entah apa-apa di dalam Bilik Interviu sebelum ini, lelaki itu tak pernah cuba hubungi dia. Ajak kahwin macam ajak main pondok-pondok pula!
Izzat Imir langsung tak beri respons apabila Intan Nazira sua muka gaya gengster. Selamba dia alih pandang, terus tengok wanita berusia yang sudah pun berpangkat nenek di sebelah Intan Nazira. Wanita itu sedang tengok dia macam menilai atas bawah, depan belakang. Sebelah wanita itu pula seorang lagi wanita lebih kurang baya emak Intan Nazira. Sedang tilik dia juga. Sambil tahan nafas, Izzat Imir tengok pula orang sebelah wanita itu. Sebab dia agak budak perempuan itu pasti juga sedang tilik dia.
Salah! Budak perempuan itu langsung tak peduli dia! Budak perempuan itu sedang tilik apa ada di depan matanya. Makanan-makanan di atas meja makan! Hampir nak tersenyum Izzat Imir. Terbabas mengagak rupanya dia. Budak perempuan ini langsung tak sama dengan perempuan-perempuan lain yang datang samanya. Budak ini lagi berminat pada makanan banding dia!
Akhirnya, Izzat Imir bawa muka ke depan, sebelah kanan sedikit. Terus dia jumpa muka dengan wanita yang datuk perkenal sebagai ibu kepada Intan Nazira. Dia senyum cukup syarat.
Aiza balas senyum, kelip-kelip mata lihat Izzat Imir. Sungguh jauh berbeza lepas sekian lama tak jumpa. Izzat Imir kali akhir dia jumpa adalah ketika Intan Nazira masih kecil. Masa itu Intan Nazira dalam 10 atau 11 tahun rasanya. Manakala Izzat Imir sudah jadi anak bujang dan sedang belajar di universiti. Masa itu dia atau Datuk Abdul Amin tak tahu pun Intan Nazira adalah cucu kepada lelaki itu. Kebetulan saja terjumpa.
Masa itu, orangnya memang tinggi, tapi Izzat Imir sekarang nampak lagi-lagi tinggi. Masa itu serasa Aiza, Izzat Imir lebih kurang tinggi Izam saja. Tapi, malam ini Izzat Imir nampak lebih tinggi. Lebih 180 sentimeter. Malah, badan Izzat Imir langsung tak gaya anak bujang dia jumpa dulu. Bukan lagi kurus sebaliknya dah nampak sasa dan tegap. Terasa timbul dan berketul lagi.
Bunyi Intan Nazira berdeham gaya nak keluarkan anak tekak buat Aiza yang semacam hanyut dalam imbasan dulu dan kenyataan sekarang, sedar. Bila sedar, baru dia perasan telapak tangannya masa ini ada di atas dada bidang Izzat Imir. Rupanya, terasa timbul dan berketul itu bukan sebab mata Aiza tengok. Sebaliknya luar perasan dia dah sentuh dan raba lelaki muda itu. Alamak!
Aiza terus pandang Intan Nazira. “Sorry, Ira, ibu dah pegang dulu. Teraba secara tak sengaja.”
Muka maafkan mak, nak yang Aiza tunjuk buat Datuk Abdul Amin gelak. Lagi dia gelak apabila tengok muka Izzat Imir yang putih melepak merah bukan main dengan ayat aci lepas bakal mertua.
“Ibu, cakap apa ni!” Naik suara Intan Nazira geramkan mulut lepas si ibu. Sejak-sejak dapat Ismaa, ibunya suka aci cakap saja. Bila dapat Imeel, lagilah tak berapa nak malu silu gaya dulu. Dia syak abah dia punya pasal! Rosak ibunya yang pernah suci murni suatu masa dulu!
Puan Mawarni ketawa. Kelakar dengan gelat anak-beranak itu. Dia pandang Datuk Abdul Amin pula. Lelaki yang lebih tua beberapa tahun daripadanya itu berjalan pakai tongkat. Bukan sebab dia Datuk kaya nak bergaya, tapi memang lelaki itu perlukan tongkat itu untuk mudah berjalan. Faktor umur. Dia sendiri pun sudah tak boleh berdiri lama dalam usia sekarang. Dah tak kuat. Namun, dia bersyukur sangat umurnya panjang begini kerana dia menikmati gembira dan ria dalam sisa-sisa hidupnya yang ada ini. Alhamdulillah.
“Rasanya, elok kita bincang hal budak-budak ni sekarang.” Puan Mawarni terus lihat Datuk Abdul Amin sambil beri cadangan.
Datuk Abdul Amin lihat jam di tangan kemudian angguk. “Makan lewat sikitlah ya kita...”
“Tak apa. Ni pun baru nak 12.00. Awal sangat nak makan tengah hari. Lepas semua selesailah...” Puan Mawarni tak kisah. Hal cucunya ini perlu diselesai dulu.
Datuk Abdul Amin pandang Izzat Imir yang nampak kacak dengan baju-T berkolar dan Khakis. “Panggil umi dengan papa masuk bilik bacaan atuk. Biar semua ada sama.”
Izzat Imir angguk kepala. Sempat dia pandang Intan Nazira yang tayang muka ketat kepadanya. Nampak sangat simpan tak puas hati. Haisy, macam budak-budak betullah. Tapi, memang budak pun kan. Baru 19 tahun. Dah dia kena buat bini. Izzat Imir mengeluh terang-terang di situ juga kemudian berlalu.
“Why you...” Intan Nazira ketap bibir bawah. Ini memang kes saja cari pasal. Depan-depan dia lelaki itu mengeluh sambil tengok dia. Gaya macam... dia seseorang yang menghampakan. Geram punya pasal, sambil tengok Izzat Imir yang sedang melangkah pergi gaya nak telan, dia jerit.
“Hei, saya pun huhlah dengan awak!” Intan Nazira mengeluh lebih-lebih kepada Izzat Imir yang terhenti kaki bila dia jerit.
“Me too!” Intan Nazira jelir lidah.
Izzat Imir jongket sebelah kening, gaya awak ada masalah mental ke? Kemudian terus jalan pergi.
Intan Nazira nganga luas. Mamat ni memang tak sayang nyawa!
“So sweet...” ujar Aiza sambil letak kedua-dua telapak tangan dilekap ke bawah pipi kanan. Mukanya menyenget dengan kedua-dua mata berkelip-kelip gedik.
“So suwey okay!” Intan Nazira besar mata tak setuju.