Jazmine menolak kasar pintu kaca tersebut. Pintu kaca yang bakal membawa dia ke bilik lelaki itu. Lelaki yang memberi janji, kemudian sesedap rasa merentap ia. Tak ada minta izin sedikit pun. Sebagaimana masuk ke dalam hidupnya, tiba-tiba, begitu juga keluarnya. Tiba-tiba. Dah tu, dia sendiri pun tak tahu bila hal itu berlaku. Ada orang tolong beritahu, barulah dia pasti.
Meluru terus tanpa kisahkan mata yang melihat atau mulut yang mengata, Jazmine ke bahagian kewangan sebab orang yang dia hendak jumpa ada di situ. Jumpa dan serang! Nak melepas rasa kan!
“Encik Izat ada?” soal Jazmine sambil laju saja bawa kaki ke meja Zulaika, setiausaha kepada eksekutif kewangan di situ. Itulah pangkat yang dibawa lelaki itu, yang akan menerima marak perasaannya sekejap lagi.
Zulaika tersentak dengan kedatangan tiba-tiba Jazmine. Tambah apabila Jazmine selamba badak mengetuk-ngetuk geram mejanya, hendak tahu juga-juga ada ataupun tidak bosnya itu.
“Aaa… Dia ada di dalam. Tapi dia tak mahu diganggu orang,” terang Zulaika mula sedar diri. Terus dia bangun dari kerusi, tegak berdiri.
Adegan sebegini dia sudah biasa. Satu bahagian kewangan itu sudah imun. Sebab itulah semua staf kewangan yang ada sibuk menunduk saja buat kerja sesudah sekali jeling meja Zulaika. Dah tak hangat atau sensasi lagi. Hanya basi sebab luput tarikh mati. Sebagaimana kes Jazmine yang nampaknya dah dekat tarikh luputnya.
“Tak mau diganggu? Ah, sudah!” Jazmine gelak sinis kemudian terus alih arah kaki, ke bilik Izam.
Zulaika laju mengikut, cuba menghalang, namun gagal. Jazmine lebih awal pulas tombol pintu bilik yang bidainya tertutup elok semua, tidak memberi peluang siapa pun melihat tubuh di balik itu.
Daun pintu menganga, sebagaima Zulaika menganga.
Izat panggung kepala lihat kedua-dua gadis di hadapannya. Dia letak pen dan menutup fail di atas meja. Tenang.
“Maafkan saya, Encik Izat. Saya…” Zulaika mula nganga lagi sebab tak tahu nak susun ayat macam mana. Walaupun dia sudah terlalu biasa berdepan dengan hal begini, tapi dia masih tak biasa dengannya.
Yalah, yang datang menyerang bukan seorang. Setiap orang ada kerenah dan perangai sendiri. Takkan boleh guna taktik yang sama bila berdepan dengan hal biasa apabila yang datang itu bukan orang biasa, bukan perempuan yang sama. Awal dulu, ada jugalah Zulaika mengira berapa kali kes begini berulang. Tapi, lepas habis jari kaki dan tangan, Zulaika sudah malas mencongak. Ambil posisi, jadi nanti, aku fikirlah balik!
“Tak mengapa, Zulaika. Awak boleh pergi,” ujar Izat tersenyum kepada Zulaika kemudian merenung wajah Jazmine yang menyinga. Mukanya hilang senyum. Selamba saja melihat Jazmine yang merah padam muka, sama dengan pemerah pipi yang merah macam kena sepak.
“Ya, Jaz? Ada apa hal?” soalnya setelah Zulaika keluar.
“Siapa betina semalam tu, hah?” soal Jazmine bengis.
Muka yang sentiasa cantik dengan mekap tebal berubah hodoh di mata Izat. Yalah, harap lawa dengan tampal mekap tebal-tebal saja!
“Semalam bila pulak?” Izat terus selamba. Malah, sudah bangun dari kerusi lalu berdiri dengan meletak separuh punggung pada hujung meja. Kedua-dua tangan pula saling bersilang.
“I nampak you berkepit dengan betina tu. Kat Butik Ayu semalam!” Jazmine seolah-olahnya hilang diksi. Berselirat habis ayat yang hendak keluar. Marah yang amat punya bahana.
Izat tersenyum. “Oh… dia. Kawan aje.”
“Oh… kawan…”
Izat lihat saja marah yang tadinya menjadi-jadi dan hangat macam hendak bakar orang hilang bak baru dijirus air. Malahan badan lampai dan ramping tak cukup kain itu, yang awal tadinya tegang satu macam mula jadi lemah gemalai. Terliuk sana, terlentok sini. Izat juga diam apabila Jazmine mendekatinya dengan muka buat-buat malu malahan senyum pun senyum jemput-jemput macam orang miang.
Jazmine berdiri di depan Izat. Tangan gadis itu panjang saja ke dada Izat, bermain-main dengan tali lehernya. Dipusing-pusing arah sini, arah sana. Manja.
“Malu I…” Mulut Jazmine menjuih-juih, jari telunjuk cucuk manja dada Izat. Tapi, tetap jaga ayu supaya nampak seksi.
“Malu? Eh, kenapa pula you nak malu?” Izat hairan. Seterusnya tangan Jazmine pada dadanya dialih.
Apabila Jazmine pelik dengan sikapnya, sengaja Izat arahkan muka ke luar bilik. Walaupun dia yakin, takkan ada yang boleh lihat dengan bidai menutup bilik itu, tapi sengaja dia memberi alasan. Dan, Jazmine menelan ia, sebagaimana semua cakap-cakapnya.
“Tentulah I malu,” kata Jazmine, masih berdiri di hadapan Izat, dalam jarak yang dekat. “I bagi tau semua kawan I yang you ni boyfriend I. Tapi bila dia orang nampak you dengan perempuan tu, dia orang sangka I sengaja ada-adakan cerita.”
“Boyfriend? Excuse me! Apa maksud you ni?” Izat buat muka terkejut Gaban kemudian bergerak menjauhi Jazmine. Berdiri sempurna ketinggian 178 sentimeternya.
“Yalah. Betul kan kata I?” Jazmine mula bermain-main dengan hujung rambut sendiri, manja jongket bahu sana sini.
Izat tersenyum. Yaks! Tergedik-gedik gitu ada hati nak jadi girlfriend aku! Ah, sorry! Nombor yang anda dail tiada dalam perkhidmatan! Kirim salam!
“Hei, bila masanya I kata I suka you? I tak pernah kata macam tu pun. Atau apa-apa pun yang boleh buat you perasan sampai macam ni. Tak pasal-pasal I kena jadi boyfriend pulak. Heh!”
Jazmine bulat mata. Sangat tak percaya!
“Apa kenanya dengan you ni? Bukan ke selama ni you selalu kata yang you sayang I dan… I… I wanita paling cantik pernah you jumpa. Betul tak?” Hilang sayang manja Jazmine. Berang menyerang kembali. Tambah dua kali ganda daripada awal tadi, waktu dia rempuh masuk ke sini.
Geram benar Jazmine dikata perasan oleh pemuda ini. Tahulah kau tu kacak, tampan, handsome. Serba-serbi sempurna sebagai lelaki dalam senarai wanted. Tapi jangan nak tinggi dirilah. Kalau kau tu muka macam tukang cat rumah aku dulu tu, haram aku nak pandang! Never!
Izat senyum kemudian kembali duduk di kerusinya. Siap menyilang kaki. “Itulah you… Jangan cepat perasan. I mengaku yang I pernah kata pada you yang I sayang you. Hmm, I pernah kata gitu kat Zulaika. Tapi I bubuh koma, sebagai adik dan you… koma, sebagai kawan. Tak lebih daripada tu!”
“You tipu!” bentak Jazmine.
Izat angkat bahu. “Lain kali otak letak kat kepala, Jaz, bukan kepala lutut.”
“You… you… I tak percaya apa yang you kata ni! Habis tu, kenapa you kata hanya I wanita paling cantik yang pernah you jumpa? You kata, kan?” Jazmine masih tak puas hati.
“Ya, I mengaku yang I pernah kata macam tu. You adalah wanita paling cantik yang I pernah jumpa, setakat I belum jumpa yang lebih cantik daripada you. Rasanya sekarang I dah jumpa, yang lebih cantik daripada you.”
“Siapa?”
“Dua hari lepas ada satu nenek tu pindah masuk rumah jiran I. Bila I tengok dia… Wah, nenek vogue tu sepuluh kali ganda lebih cantik daripada you. Cantik asli. Tak ada tempek muka warna-warni macam you ni.” Izat ketawa mengekek. Suka tengok muka masam-masam kelat Jazmine dengan mata terjojol.
“You dah melampau, Izat! I tak sangka you seteruk ni! Jantan penipu! Buaya darat! I hate you! I hate you so much!” sumpah Jazmine menjerit, terus menuju ke arah Izat, memukul-mukul dada bidang Izat.
Izat genggam kedua-dua tangan gadis itu, perlahan-lahan bangun. Apa ingat tak sakit ke oi? Dia senyum renung Jazmine yang menyinga. Perempuan, perempuan… Itulah, dah kena baru nak sedar. Mudah sangat jatuh cinta. Tambah kalau lelaki itu kacak dan maco macam aku. Keh! Keh! Keh!
Jazmine rentap tangannya lalu terus keluar dari bilik itu.
Izat angkat bahu, selamba duduk lalu meneruskan kerja yang terganggu seketika tadi. Seolah-olahnya tiada apa berlaku. Baru dia buka fail semula tiba-tiba sekali lagi Jazmine melangkah masuk. Apa lagi yang minah ni nak? Tak habis-habis menyusahkan hidup aku!
“Ada lagi yang you nak kata? Masih tak puas hati?” soal Izat menyindir.
“Nah! Ambik balik hadiah yang you bagi kat I. I tak nak simpan barang yang diberi oleh jantan macam you!” Jazmine melempar sepasang anting-anting ke atas meja Izat lalu terus berlalu. Namun, terhenti setelah Izat memanggilnya.
“Apa?” soal Jazmine garang.
“Err… kalau tak salah I, mini skirt yang you pakai tu pun I yang beli, kan? Kenapa you tak bagi balik kat I…?” Izat senyum nakal.
Muka Jazmine merah padam. Marah ada, malu pun ada. “Nanti I bagilah! Takkan nak bagi sekarang kut!”
“Tak payahlah, Jaz. I tak perlukannya pun.”
Jazmine mendengus. Dia terus keluar. Pintu dihempas.
Izat bersandar pada kepala kerusi, ketawa geli hati. Jahat jugak aku ni ya! Hmm… kalau semua perempuan gaya nilah, baik aku tak kahwin. Aku nakkan gadis yang betul-betul gadis. Yang boleh buat aku kenal harga hati, harga cinta. Tapi… bukan dah masuk kategori pupus ke yang macam tu? Terfikir-fikir Izat jadinya.
“Mmm, dah.” Izat jawab sendiri, angguk kemudian sambung kerja.